Friday, December 08, 2006

Program Malam Bersamamu Palestin

KERTAS KERJA MALAM BERSAMAMU PALESTIN

Tarikh : 8 September 2006

Tempat : Masjid At -Taqwa


PROGRAM PALESTIN DI MIRI KUTIP RM22,000

Bandaraya Miri, 11 September 2006: Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Jawatankuasa Bersama Penganjuran Malam Bersamamu Palestin telah berjaya menganjurkan Program Malam Bersamamu Palestin (MBP) pada hari Jumaat yang lepas, 8 September 2006 bermula jam 7.30 malam sehingga 11.00 malam bertempat di Masjid At-Taqwa Miri. Pada sebelah petangnya sebelum itu telah diadakan Dialog Interaktif Palestin bertempat di Pustaka Miri selain Khutbah Jumaat Isu Palestin dan Pameran Palestin bergerak di masjid-masjid.

Program yang julung-julung kalinya diadakan di Bandaraya Miri ini adalah anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam dan Masjid An-Na'im Lutong bersama-sama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri, Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Miri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bahagian Miri, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri, Jamaah Islah Malaysia (JIM) Daerah Miri, Masjid At-Taqwa Miri, Masjid Ar-Rayyan Permyjaya, Masjid Darul Istiqamah Luak, Masjid An-Nur Tanjung Batu dan Masjid Darul Ehsan Piasau.

Program yang telah mendapat sambutan di luar jangkaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 Muslimin dan Muslimat telah dirasmikan oleh YB Haji Bolhassan bin Haji Di, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri merangkap Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak. Lebih daripada itu, sekurang-kurangnya RM22,000 telah berjaya dikumpulkan untuk Tabung Dana Palestin dan telah diserahkan kepada wakil Aman Palestin Berhad, Dr. Zainur Rashid Zainuddin di akhir program tersebut.

‘Palestin di Hati’ dan ‘Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?’ masing-masing telah dipilih sebagai tema dan slogan program. Berikut merupakan antara objektif Program Malam Bersamamu Palestin ini dianjurkan:

1. Membangkitkan kesedaran dan kepedulian masyarakat terhadap usaha menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin.

2. Menimbulkan rasa syukur di atas nikmat keamanan dan kedamaian yang dimiliki dan kita kecapi selama ini dan peripentingnya kita memastikan kesinambungannya.

3. Mengarusperdanakan isu Palestin dalam masyarakat sebagai aspek pembinaan kesatuan masyarakat dan kesedaran umat.

4. Membuat kutipan Dana Palestin untuk disalurkan kepada kerajaan dan rakyat Palestin.

Program Malam Bersamamu Palestin ini diharap telah membangkitkan semangat dan memberi kesedaran kepada warga masyarakat Islam di Bandaraya Miri tentang isu Palestin. Kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan untuk terus memastikan umat Islam memahami peranan serta tanggungajwab mendesak yang wajar mereka laksanakan demi melihat bumi Palestin kembali berdaulat dan rakyatnya kembali merasai keamanan. Marilah kita terus berjuang dan berkorban atas kapasiti yang termampu demi Allah dan agama Islam yang kita cintai! Jom selamatkan Masjid As-Aqsa dan Bumi Al-Quds! Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?


Mukaddimah

Hari ini, pada bila-bila masa sahaja, Masjid al-Aqsa bakal runtuh akibat hakisan atas usaha Zionis “Israel” yang melemahkan struktur binaannya. Pada bila-bila masa, masjid ketiga paling suci dalam hati umat Islam bakal ranap dan bertukar identiti sebagai “Temple of Mount”. Bila-bila masa dari sekarang, Masjid al-Aqsa bakal tertiarap meninggalkan debu dan di masa itu tiada guna lagi penyesalan. Pada ketika itu, segalanya sudah terlambat.

Maka, masih belum terlambat untuk setiap umat Islam menghulurkan sesuatu sebagai simbol kecintaan terhadapnya. Peranan kita yang proaktif walau sekecil zarah dengan keikhlasan dan kecintaan yang tulus mempertahankannya akan dikira oleh Allah SWT sebagai seorang pembela Masjid al-Aqsa yang disucikan. Sesungguhnya umat Islam itu sejasad. Apabila saudaranya ditimpa musibah dan ujian, maka dia juga akan merasa kesakitan dalam batang tubuhnya.

Segala kezaliman yang diperlakukan ke atas umat Palestin tidak pernah melemahkan mereka untuk terus bangkit berjuang mempertahankan tanah suci umat Islam tersebut. Walaupun ribuan dari anak-anak mereka dibunuh kejam, segala harta dirampas dan dimusnahkan dan menderita dalam tanah air mereka sendiri, semangat juang mereka tidak sekali-kali luntur. Rakyat dan kerajaan Palestin tetap berdiri tegap mewakili seluruh umat Islam mempertahankan bumi al-Aqsa. Pertarungan sengit ini dihadapi mereka keseorangan tanpa bantuan dan ihsan sesiapa.
Amat malang seandainya umat Islam yang mengaku saudara dan sejasad dengan mereka, tidak mampu melakukan apa-apa demi masa depan mereka. Sekiranya ada sumbangan umat Malaysia kepada rakyat dan pimpinan Palestin, maka mereka tentunya lega dan merasai mereka dibantu oleh seluruh manusia. Hari-hari yang bakal mereka hadapi pastinya lebih meyakinkan untuk mempertahankan bumi al-Quds dan kesuciannya.
Atas dasar persaudaraan dan aqidah Islam, Malam Bersamamu Palestin ini dicetuskan demi membangkitkan kesedaran dan menyatakan kepedulian masyarakat Islam khususnya di Miri terhadap saudara mereka di Palestin yang menderita sekian lama. Semoga program yang dilaksanakan atas rasa tanggungjawab dan amanah ini akan dapat sedikit-sebanyak membantu saudara kita di Palestin dan menyelamatkan Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam.

Tema Program

Palestin di Hati

Slogan Program

Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?

Rasional

Suasana semasa dan tindakan ganas Yahudi dan Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin sudah berada pada tahap yang amat kritikal . Kondisi ini menuntut kita untuk tidak terus duduk senang bergoyang kaki tanpa melakukan apa-apa tindakan. Justeru, program Malam Bersamamu Palestin ini dirangka khas untuk membangkitkan kesedaran warga masyarakat khususnya di Bandaraya Miri terhadap peranan menyelamatkan al-Aqsa dan sekaligus membantu saudara seIslam kita di bumi Palestin.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)." Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan pendorong bagimu." (Al-Qur'an Al-Kariim, Surah Al-Baqarah: 120)



PESANAN HAMAS BUAT SELURUH RAKYAT MALAYSIA
(Ini adalah pesanan Dr Khalil al-Haya mewakili HAMAS di Palestin untuk umat Islam di Malaysia. Beliau telah berada di Malaysia pada tarikh 11 Mei-17 Mei 2006 untuk siri kempen "Bersama Menyokong Rakyat Palestin dan kerajaan HAMAS". Pesanan ini telah diterjemahkan oleh Ustaz Maszlee Malik di atas permintaan Dr Khalil)
Alhamdulillah, Allah telah memilih kami yang berada di Palestin untuk berjihad. Kami telah dipilih untuk menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami telah dipilih oleh Allah SWT untuk mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami untuk menentang musuh Allah dan mempertahankan Masjid al-Aqsa. Kami juga telah dipilih oleh Allah SWT untuk mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid ketiga suci mereka. Kami juga telah dipilih oleh Allah untuk menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan kami berbanding kehidupan dunia. Selama lebih daripada 60 tahun, kami hidup di medan pertempuran. Selama waktu itu jugalah kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa?, hanya kerana kami mengucapkan La Ilaha Ila Allah, dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.
Pelbagai bentuk kesengsaraan telah rakyat Palestin lalui. Pengusiran dari rumah, kampung halaman, dan juga tanah watan. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan apa-apa lagi perbuatan tidak bertamadun yang boleh diungkapkan, telah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited untuk terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ianya adalah jihad, ianya adalah kemuliaan, ianya adalah bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.
Ketika di waktu awal penjajahan, kami, saudara anda dari gerakan Islam telah menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam telah dibantai penjajah. Pembantaian itu walau bagaimanapun tidak cukup untuk melemahkan kami. Sehinggalah di zaman Jamal Abdul Naser, sepertimana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh tersebut,gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kmai telah menumpukan usaha untuk pembinaan semula struktur perjuangan.
Usaha pendidikan, dakwah, tarbiyyah dan kebajikan telah menjadi agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehinggalah di pertengahan 80'an. Apabila arus sekular telah mula jemu dengan perjuangan. Ketika arus sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin telah mula lesu. Kami mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami adalah berteraskan Islam dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.
HAMAS, semenjak hari pertama penubuhannya telah menjadikan jihad sebagai jalan utama untuk memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga telah menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga telah memberikan nyawa ahli-ahli mereka untuk tujuan tersebut. HAMAS juga telah berjanji dengan rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam untuk terus komited dengan perjuangan mereka. HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.
Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah mereka. Kemenangan ini, walaupun indah, namun ianya merupakan ujian yang getir bagi kami. Kemenangan tersebut merupakan era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang di dalam perjuangan kami, iaitu ruangan politik pemerintahan. Semakin bertambahnya beban, semakin tingginya perngorbanan.
Buat umat Islam di Malaysia, andalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita telah diikat dengan fikrah dan aqidah yang sama. Kita telah dihimpunkan di dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama di dalam perjuangan dengan manhaj yang sama. Kami adalah wakil anda di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan anda. Pemerintahan kami adalah pemerintahan anda. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pecinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah anda sedar perkara ini?, jika anda tidak sedarkan perkara ini siapakah lagi yang akan menyedarinya???
Umat Islam di Malaysia sekelian, menjadi pemerintah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi memerintah di dalam fasa penjajahan dan peperangan. Apatah lagi jika pemerintahn itu hanyalah memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya. Apatah lagi apabila memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Apatah lagi pemerintahan tersebut adalah mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan beban hutang sebanyak USD 3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili anda semua di seluruh dunia.
Sehingga kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap pengangguran telah mencaai 31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin kehabisan. Baru-baru ini, tiga orang bayi telah meninggal di hospital di Gaza kerana ketiadaan ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak akan dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Hatta, persidangan parlimen (Majlis Legaslatif) kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.
Mengapa ini semua?, ianya adalah kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan juga EU. Tekanan yang dikenakan hanya semata-mata rakyat Palestin telah memilih calon yang mereka inginkan di dalam pilihanraya yang lalu. Tekanan yang dikenakan kerana kami enggan menurut ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?
Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD 55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin.Rejim Zionis telah mengambilnya dari kami dan tidak pernah dipaksa untuk memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang memaksa rejim Zionis untuk memulangkannya. Mereka juga telah menutup laluan udara, darat dan laut kepada tanah Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian gila dan bodoh yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua.
Kami yakin, saudara-saudara seislam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seaqidah kami akan dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seaqidah kami di seluruh dunia akan dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung kepada bantuan-bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi dari rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?
Wahai umat Islam di Malaysia. Kami mengharapkan agar anda mengepalai kempen untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel demi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk kepada tekanan. Kami telah memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang ke titisan darah terakhir kami. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah. Kami tidak akan sekali-kali tunduk kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya boleh bertahan selama enam bulan. Tiap-tiap hari, rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa agar kerajaan HAMAS tidak tunduk kepada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila?, perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan anda untuk melakukannya. Mahukah anda melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?
Umat Islam di Malaysia sekelian,
Kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehinggalah setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam akan terus dijulang. Namun kami memerlukan sokongan dan bantuan anda.
Jikalau kami gugur syahid, dan anda sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan kebisuan anda semua. Kami tidak akan memaafkannya.
Umat Islam di Malaysia,
Kami mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif. Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.
Kami juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang menjadi pengerusi OIC untuk melakukan sesuatu.
Kami juga berharap dari anda untuk melakukan kempen kesedaran, dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.
Kami juga inign melihat anda menjadi juara di peringkat antarabangsa di dalam kempen kesedaran ini.
Banjiri media anda dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut, andalah harapan kami.
Dan akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak melupakan kami di dalam doa-doa anda sekelian. Berdoalah agar kami thabat di dalam perjuangan. Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami. Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga, agar kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari nanti, di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...
Allah Akbar!!!
Saudaramu, Khalil Ismail al-Haya
Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
Kuala Lumpur, 14 Mei 2006.