Friday, February 23, 2007

Tuliskan Pengalaman Itu, Untuk Anak-anakmu - Saiful Islam

Sumber : www.saifulislam.com

“Kamu ni siapa?”, tanya pakcik yang duduk di sebelah saya. Usianya saya jangka mungkin sudah mencecah 80 tahun lebih.

“Saya Rizal, anak Jamil”, saya menjawab. Terpaksa meninggikan sedikit suara agar dapat didengar dengan lebih jelas olehnya.

“Jamil mana?”, tanyanya lagi.

Pakcik tersebut bertanya dengan nada beralun, seperti kebanyakan penduduk kampung saya. Irama dialek Kuala Kangsar memang mengasyikkan.

”Jamil, adik Cikgu Zan. Anak Haji Akib”, saya menjawab.

Pakcik tersebut sedikit terkejut.

”Ooo, kamu ni cicit Haji Daud le haaa. Ade juge ketughunan dia yang ngikut. Alhamdulillah !”, jawab pakcik tersebut sambil menyapu kedua belah tangannya ke muka.

Saya tergamam. Jauh benar saya dikaitkan sampai ke moyang. Saya tidak sempat bertemu dengan datuk di sebelah bapa, Haji Mohd. Akib, apatah lagi moyang, yang dikatakan namanya Haji Daud.

“Kuburnya ada di Masjid Padang Rengas. Tok guru kami tu”, kata Pakcik tadi sambil menepuk-nepuk tangan saya.

Hati saya terusik. Saya pulang ke kampung di Padang Asam, Kuala Kangsar kerana mewakilkan keluarga saya ke kenduri kahwin sepupu. Saya datang dengan bas. Dan perasaan sedih itu makin mendalam kerana arwah abah baru sahaja meninggal dunia.

Rasanya, hari demi hari, kampung tercinta ini akan lenyap dari diari hidup saya. Apabila abah sudah meninggal dunia, adik-beradik abah semua berpindah mengikut anak masing-masing kerana telah uzur, siapa lagilah yang tinggal di kampung.

KENANGAN MASIH BASAH

Masih segar di mata saya, pemandangan kami adik beradik menaiki kereta Ford Escort abah dengan nombor plat AAF 78.

“Nanti sampai Jambatan Iskandar, kejut Rizal ya!”, saya selalu berpesan kepada abang-abang agar saya tidak terlepas peluang melihat pemandangan Sungai Perak, ketika melalui Jambatan Iskandar, tidak jauh dari pekan Karai.
Sebulan sekali kami sekeluarga balik ke kampung di Padang Asam. Yong dan Wah akan sibuk memasak gulai tempoyak ikan keli dengan siput sungai. Makan beramai-ramai di atas tikar getah, di bawah pokok rambutan. Panas-panas badan, kami semua terjun ke Sungai Papan, beberapa meter dari rumah pusaka arwah Tok. Berjam-jam saya berendam, selagi tidak dijerit emak.

Semua itu tinggal kenangan. Satu demi satu hilang dari kehidupan.

Kenduri itu menjadi nostalgia, saya diperkenalkan oleh pakcik tersebut kepada moyang saya, Haji Daud, saya yang saya sendiri tidak kenal.
Mungkin bagi sesetengah orang, ia bukanlah suatu yang perlu disedihkan. Ia proses kehidupan yang biasa.

Tetapi kehilangan saudara mara, terutamanya dari sebelah abah… amat menyedihkan saya.

MENCARI KHAZANAH ABAH

Baru-baru ini saya balik ke Ipoh sehari untuk menyelesaikan hal keluarga. Ketika semua orang sudah tidur, saya duduk bersila mengadap almari buku lama di tepi tangga. Satu demi satu buku saya keluarkan, dan akhirnya saya bertemu kembali dengan buku “Sabelum dan Salepas 13 Mei”, karangan Tunku Abdul Rahman yang pernah arwah abah berikan kepada saya pada tahun 1984.
Habuk di buku itu saya bersihkan. Buku itu bertarikh 1969 cetakan pertama oleh Penerbitan Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Harganya $3.00. Abah membeli buku ini pada tahun 1971 dan saya ‘menerima’ buku ini pada tahun 1984, di usia 9 tahun.
Usang.

Sudah ada bahagian yang ditebuk anai-anai. Perasaan rindu saya tiba-tiba bangkit semula, teringatkan arwah abah.

Tangan saya terus memunggah buku satu persatu. Tiba-tiba saya bertemu dengan buku bertulisan jawi, bertajuk “Peraturan dan Arahan” oleh al-Ustaz Hasan al-Banna. Buku itu diterjemahkan dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu oleh al-Ustaz Abu Bakar Hamzah, bertarikh 1962, terbitan Pustaka Islam Kelantan.

Saya membuat kesimpulan, abah banyak membeli buku pemikiran. Antara buku lain yang abah beli ialah Revolusi Mental susunan Senu Abdul Rahman, dan beberapa siri buku Naquib al-Attas.

Kenapa abah membaca buku-buku ini? Dengan siapa abah berdiskusi tentang buku-buku ini?

Saya sedih kerana saya tidak sempat bersama abah apabila tiba masa untuk saya mula bertatih juang. Saya tidak tahu siapa abah suatu ketika dahulu, tetapi saya tahu abah memang seorang yang berprinsip, ada pemikiran tersendiri, dan amat dihormati di kalangan rakan-rakannya.

Walaupun abah hanya ketua kerani di Pejabat Ugama, tetapi saya tahu abah tinggi maruah. Hingga SS Mufti Perak pun ‘segan’ dengan abah.

“Dato’, jam dah pukul 10, belum pukul 1!”, saya masih ingat abah menegur Dato’ Mufti Perak di kantin Pejabat Ugama Ipoh.

Ketika itu saya masih kecil. Mengikut abah ke pejabat. Dan abah tidak senang melihat Dato’ Mufti berbual di kantin.

“Anta ni, ada sahaja nak kenakan ana”, kata Dato’ Mufti kepada abah. Mereka berbalas senyum.

Saya tidak pasti, saya kenang abah sebagai siapa. Abah kembali kepada Allah ketika saya masih terlalu muda dan mentah. Masih banyak yang belum sempat abah cerita, masih banyak yang belum sempat saya tanya.

Kerana itulah saya gigihkan diri merakam episod perjalanan hidup di halaman saifulislam.com ini, agar anak-anak saya tidak sedih seperti saya. Sedih kerana bayangan abah semakin kabur di ingatan, selepas satu demi satu nilai kehidupan, diubah oleh perjalanan masa dan persekitaran.
Halaman web ini adalah waris Abi untukmu, anak-anakku.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur