Tuesday, June 12, 2007

"Keindahan Desa Sentiasa Menggamit Rasa, Mengusik Jiwa.."







"Tempat program - Surau Nurul Yaqin"




As-Sarawaki, 5 Jun 2007 (Alhamdulillah, hari ini genap setahun saya bertugas di Sarawak Shell Berhad): Segala puji bagi Allah, pada 2-3 Jun iaitu hujung minggu yang sudah, Kelab Anak Muda Muhibbah dengan kerjasama Curtin Education Excellence Facilitating Team (E-FacT), Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan PPG Miri dan Yayasan ‘Amal berjaya melaksanakan Kem Motivasi Insan Cemerlang di Kampung Muhibbah, Ladang 3, Niah iaitu kampung halaman saya yang tercinta.

Sekalung perhargaan dan jutaan terima kasih buat semua yang terlibat menjayakan program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sungguh terlalu banyak kenangan manis dan detik bermakna yang dilalui bersama sepanjang program 2 hari satu malam ini. Seramai 65 peserta terdiri daripada anak-anak Kampung Muhibbah dengan julat umur dari 10 ke 19 tahun yakni murid Tahun 4 sehingga ke Tingkatan 6 telah mengikuti program ini.
Kesungguhan urusetia khususnya anak-anak muda kampung telah menjadikan program tahunan kali ke-2 ini mampu direalisasikan. Komitmen para fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa Curtin University dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sesungguhnya telah memberitahu dan memberimahu kepada adik-adik peserta untuk cemerlang dunia dan Akhirat melalui 4 slot Latihan Dinamika Kumpulan (LDK) dan sesi Koreksi Diri yang telah dijalankan. Selain itu, kewibawaan ilmu, kehebatan penyampaian dan semangat membara para penceramah jemputan juga telah menambah input bermakna kepada pengisian-pengisian program. Alhamdulillah!

“Kem Motivasi Insan Cemerlang Kpg Muhibbah.. Kejayaan Milik Setiap Insan!”

Pengisian Utama Program:

Ceramah 1: Hidup Lebih Hidup Dengan Kejayaan oleh Ustaz Nik Shazmizi Nik Sin, Guru Pendidikan Islam SMK Merbau Miri.
Ceramah 2: Sesi Hati Ke Hati Menuju Kecemerlangan Duniawi dan Ukhrawi oleh Puan Lily Hj. Morni, Pengetua SM Sains Miri yang juga merupakan mantan Pegawai Pelajaran Gabungan Miri - ceramah ini turut dihadiri oleh para penduduk kampung dan ceramah ini kemudiannya diikuti dengan jamuan makan malam berlaukkan daging rusa yang telah disembelih khusus untuk program ini.
Ceramah 3: Adab Pelajar Muslim Cemerlang oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaacob, Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri.
Qiammullail: Pimpinan Ustaz Mohd Kamil, Guru Bahasa Arab SMK Agama Miri.

Latihan Dinamika Kumpulan (LDK):

LDK 1: Ice Breaking dan Kenali Potensi Diri
LDK 2: Penghayatan Kecemerlangan
LDK 3: Klinik Solat Cemerlang
LDK 4: Pelan Tindakan dan Rumusan


Suasana Kejiranan Desa.. Kian Sirna di Kota!

Namun, satu perkara yang saya rasakan merupakan elemen utama yang telah menjadikan program ini satu realiti yang bererti ialah kekuatan ukhuwwah, semangat volunteerism, upaya bergotong-royong serta kerjasama masyarakat kampung dalam suasana kejiranan desa yang masih terjalin utuh. Suasana sebegini semakin dipandang sepi dan kian sirna di kota-kota maju dan bandar-bandar pesat! Bagi saya, suasana mesra kejiranan desa merupakan satu warisan penting yang bersifat Islami yang amat wajar untuk dikekal, diteruskan dan dikembalikan pengamalannya.

Melihat realiti semasa dengan kepesatan pembangunan, ada beberapa perkara yang sewajarnya tidak berlaku tetapi mungkinkah ia terpaksa dibenarkan dan dikorbankan atas nama kemajuan?.. Secara umumnya, benarlah betapa tembok konkrit perumahan bandar telah menyebabkan masyarakatnya kian nafsi-nafsi.. Benarlah pagar berjeriji antara lot-lot telah menyebabkan warga kota kian pentingkan diri-sendiri.. Benarlah kemajuan hutan batu telah melenyapkan resmi desa yang erat terpadu.. Dan benarlah pembangunan fizikal kian meruntuhkan pembangunan ukhuwwah nan menebal!

Tak percaya? Berikut dikongsikan dengan tetamu ziarah sekalian beberapa analogi yang saya rasakan ramai di kalangan kita menyetujuinya:

1. Masa kenduri-kendara (majlis perkahwinan, akikah, khatam al-Qur’an)

Suasana Desa: Seluruh penduduk kampung akan bergotong-royong bantu-membantu. Seminggu sebelum majlis bermula rumah pihak yang mengadakan majlis sudah penuh dengan penduduk kampung yang datang membantu. Kalau di kampung saya, biasanya kaum bapa akan membantu tuan rumah membuat khemah bertiangkan buluh dan bertendakan kanvas yang disebut sebagai ’sarapo’ kerana biasanya rumah tidak dapat menampung jumlah tetamu yang hadir bertandang dan bertamu. Kaum ibu pula sudah sibuk dengan suasana ‘hingar-bingar’ menyediakan rempah-rempah lauk dan menu-menu masakan selain pelbagai jenis kuih-muih serta aneka juadah yang lain. Kalau dulu-dulu lagi seronok, seminggu sebelum majlis, semua saudara-mara yang jauh dekat sudah datang dan ‘berambeh - bermalam bersama’ di rumah. Suasana memang riuh-rendah dengan bunyi gurau senda anak cucu dan atuk nenek, pakcik makcik dan anak saudara, abang kakak dan adik-adik, along angah dan achik usu, sepupu lelaki dan sepupu perempuan. Sungguh.. Riuh tetapi indah.. Dan kemesraannya hangat terasa!

“Suasana Mesra Desa Sentiasa Di Hati.. Masih ‘dara’ ukhuwwahnya!”

Suasana Kota: Suasana sedemikian sudah kurang terasa dan lebih parah mungkin tidak wujud di kota. Malah jika sekiranya masih diamalkan sekalipun, ianya hanyalah oleh segelintir masyarakat sahaja. Trend terkini ialah tempah hotel mewah atau dewan, dan yang lainnya akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak hotel atau caterer. Tetamu cuma datang majlis, makan, beri hadiah dan pulang. Memang mudah tetapi kurang ukhuwwah!

2. Jemputan ke Walimatul ‘Urus - Majlis Perkahwinan

Suasana Desa
: Dulu-dulu wakil dari pihak yang akan mengadakan majlis perkahwinan akan datang sendiri dari rumah ke rumah menjemput untuk hadir ke majlis yang hendak diadakan. Akan dinyatakan siapa yang menjemput, di mana majlisnya akan diadakan, apa hajatnya dan dinyatakan harapannya dengan budi bicaranya yang mulus agar dapat kiranya yang dikunjungi hadir memeriahkan majlis. Kalau di kampung saya, wakil akan datang menjemput dari rumah ke rumah dengan motosikal, selalunya pasangan lelaki dan perempuan (dan kebiasaannya yang ada hubungan mahram) yang mana yang perempuan akan dibonceng di bahagian belakang motosikal dengan memakai pakaian bersesuaian yang sejuk mata memandang sesuai dengan gaya keayuan gadis pingitan desa. Yang perempuan akan dibonceng dengan duduk mengiring di mana kedua-dua belah kaki diletakkan di sebelah sisi kiri motosikal dan bukannya mengangkangi seat motosikal (sepertimana sekarang) kerana ia dipandang tidak sopan. Bersama wakil penjemput ini akan dibawa satu tepak steel yang disaduri dengan kain baldu berukir dan di dalamnya akan dibawa pernyataan dan perincian majlis. Cuma apa yang saya kurang setuju ialah di dalam tepak tersebut juga ada kotak rokok dan selalunya menjadi satu adat kononnya setiap rumah yang diziarahi hendaklah mengambil sebatang rokok supaya yang datang menjemput tidak kecil hati! Nonsense.. Katakan Tak Nak pada rokok! Katakan ya pada ukhuwwah!

Suasana Kota (dan juga sudah diamalkan di desa): Kad jemputan akan dihantar melalui pos atau dari tangan ke tangan dengan pelbagai design malah kebanyakannya adalah kad-kad wangi, kad tanpa bicara mesra dari bibir! Hanya saudara-mara dan sahabat handai terdekat sahaja yang dijumpai secara bersemuka, diberikan secara personal dan dijemput secara khusus atau kalau yang istimewa akan dimaklumkan melalui telefon dan sms. Memang mudah tetapi kurang sedikit terasa ukhuwwahnya!

3. Nostalgia Berpuasa dan Bulan Ramadhan

Suasana Desa: Untuk perkara ketiga ini, saya suka untuk kongsikan entry Akhi Rashidi Murad tentang Nostalgia Ramadhan Tahun 70-an dan 80-an yang sesungguhnya mencuit hati dan merupakan kenangan yang mengusik jiwa.

Bulan Ramadhan merupakan waktu yang senantiasa ditunggu-tunggu. Pertamanya, di bulan Ramadhan ni, dapat makan yang sedap-sedap, luar biasa cara masakan mak, resepi yang dah lama tak keluar akan muncul semula, ini termasuklah my favourite ‘ayam engkong’ – masakan jawa, ayam satu ekor yang dipanggang dalam oven atau digoreng, kemudian disira dengan segala rempah-ratus dan santan pekat. Mak memang rajin memasak, sehinggakan ‘fishball’, cendol dan air tauhu pun dia buat sendiri. Lebih meriah kalau berbuka puasa di rumah mak tok yang jaraknya cuma sebatu dari rumah kami. Di rumah mak tok ramai orang, maklumlah rumah besar, keluarga besar dan masih ramai yang bujang (yang dah berkeluarga pun gemar berbuka sekali). Riuh-rendah dengan bunyi gurau senda anak cucu dan pinggan-mangkuk periuk-belanga, bayangkan sekitar 20-30 orang ada di dapur bersedia untuk berbuka puasa, macam kenduri kendara. Rindu sangat-sangat dengan suasana macam tu, tetapi setelah mak tok meninggal dunia kira-kira 15 tahun dulu, semuanya telah berubah.

Kedua, memang seronok berpuasa, tak tahulah kenapa, walaupun letih, dahaga, lapar… tetapi seronok, tak der lah merengek nak berbuka segala walaupun umur baru 7 tahun. Semasa hendak berbuka puasa, ramai-ramai duduk mengelilingi meja yang penuh dengan beraneka makanan (masa tu kami 5 beradik), jiran-jiran saling bertukar-tukar juadah (zaman sekarang ada ke?), aku akan jadi ‘porter’ pergi dari satu rumah ke satu rumah menghantar kuih atau juadah, “Mak Aniiii….. ooooo mak Aniiii… mak bagi kuih niiii…”. Masakan dari Mak Eton paling aku tunggu-tunggu, sebab semua masakan dia sedap, maklumlah dia dan suami keturunan Arab-Melayu Singapura. Ketiga, sebab selepas Ramadhan, masuk pula Syawal, kanak-kanak mana yang tak suka menyambut Hari Raya. Sebelum tiba Hari Raya, sudah tentu akan berbelanja pakaian baru, walaupun tidak semewah mana, tetapi ada dan cukup. Kasut baru pasti dicari di kedai BATA, selalunya aku pilih sandal yang warna cokelat tu, kadang-kala abah akan pilihkan kasut ‘keras’ kulit. Baju Melayu kena warna sedondon dengan adik lelaki yang sorang tu, adik-adik perempuan warna baju tak boleh sama dengan yang lelaki, songkok pun kena beli yang baru sebab yang tahun lepas dah tak muat, lagipun dah ‘out of shape’ sebab selalu diguna ke sekolah agama. Yang jual songkok ni selalunya orang-orang Minang dari Sumatera, tak pun orang-orang Pakistan yang tinggi lampai berjanggut panjang beruban. Stokin dan saputangan pun baru, stokin beli yang warna putih sebab boleh pakai ke sekolah dan saputangan penting sebab aku tak suka mulut comot dan selalunya buat kesat hingus. Nyonya kat pekan tu dah tau sangat perangai aku, mesti minta saputangan corak kotak-kotak. “Nyonya, yang bunga-bunga saya tak mau lah, ini perempuan punya!!!!”. “Aiyaaa… wa ingat lu pelempuan lorrrrr… soli arrr…”


Sepanjang malam bulan puasa, mak rajin buat biskut, macam-macam biskut yang dia buat, walaupun dari siangnya mak dah penat memasak dan buat kerja rumah, malamnya pasti tak ketinggalan buat biskut. Aku sudah tentulah jadi assistant Chef, tolong klim tart nenas, tabur ceri, letak kismis, susun atas dulang, simpan dalam balang etc. Sambil buat biskut, mak selalu bercerita, cerita masa dia muda-muda dulu, cerita sambut raya orang dulu-dulu, susah senang zaman dulu. Sambil tu mak selang-seli memberi nasihat supaya belajar rajin-rajin (bukan belajar buat biskut ek!), bila besar boleh jadi orang senang, tak merempat….. dan boleh bawa mak pergi melancung/wisata (ini ‘penyakit’ keturunan suka melancung). Bab bangun sahur, akulah orang paling mudah bangun sahur, tak macam adik-adik yang lain tu, kecuali Anita. Kalau harapkan lelaki yang sekor tu dan si Linda….. tahan tak nak makan sebab nak ‘titun’, tak pun ada yang menyuap nasi ke mulut sambil mata tertutup. Aku dengan cerianya akan bersiap-siap untuk makan sahur, aku tak begitu cerewet dengan makanan sahur asalkan panas, lagipun semua masakan mak memang sedap, minuman wajib untuk bersahur ialah Milo panas. Itu dulu-dulu…. masa kecil-kecil bersekolah rendah.

Suasana Kota: Trend terkini ialah berbuka puasa secara buffet di hotel-hotel. Memang mewah, tetapi kurang nostalgianya! Cuma satu perkara menarik yang saya paling kenang khususnya ketika bergelar mahasiswa dahulu ialah berbuka puasa secara percuma di masjid-masjid. Alhamdulillah masih ramai orang kaya yang budiman di kota-kota metropolitan!

Benar bukan? Persoalannya di sini, mungkinkah suasana mesra desa akan kembali mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat kota dan generasi moden masa kini? Saya sedikit sangsi meski optimis!

Wallahu a’la wa a’lam.

1 comment:

As-Sarawaki said...

Salam Kak Tum;

Thanks for sharing the info, teruskan usaha lagi pada masa akan datang. Anak Muhibbah berhak hebat dunia dan Akhirat!

Sekadar makluman, link ke laman saya di "Kawan-Kawan Kite..." ada sedikit kesilapan. Sepatutnya
http://www.muhtarsuhaili.com/ iaitu tiada tanda " di hujung seperti yang ada sekarang.

Ok, take care.

Wallahu a'lam.