Monday, June 18, 2007

Tragedi : Pelajar Malaysia Mati Dibunuh di Mesir

As-Sarawaki, 15 Jun 2007: Satu lagi tragedi pilu! Pelbagai rasa-rasa tentunya hadir di hati Mu’min sejati.. Marah.. Terkejut.. Simpati.. Sedih.. Maka di sini benar dan sungguhlah, kemanusiaan dan kasih sayang sudah kian mati kini! Sebelum ini saya ada menulis satu entry tentang Berita Gempar: Ustazah Ditemui Mati Dibunuh, namun kes pembunuhan yang satu ini lebih tragis dan menyayat hati. Tragedi pembunuhan Allahyarham Muhammad bin Ishak ini bukan tragedi biasa. Ini kerana pembunuhannya dibuat oleh suspek yang amat mengenali mangsa. Suspek juga merupakan pelajar Al-Azhar, yang sedang menuntut ilmu Islam di Bumi Anbiya’ dan diharapkan suatu masa nanti akan menjadi ulama’ ummah!

Astaghfirullah.. Terus persoalan dan kekesalan lahir, bagaimana dengan hakikat keimanan dalam diri?.. Kefasadan semakin menjadi, yang disesalkan ia turut berlaku di kalangan ahli agama.. Maka benarlah apa yang dinyatakan dan dinukilkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam entrynya bertajuk Akhlaq Itu Bukan Lalang. Melihat kepada kebobrokan demi kebobrokan yang berlaku, wajarlah kita sama-sama hayati Sabda Rasulullah SAW berikut. Marilah kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai Qudwah Hasanah!
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan dan nilai Akhlaq” (Disahihkan oleh al-Albani)
Berita dari bumi Mansurah (Sumber: E-mail dan Laman Web PMRAM)

Bumi Mansurah diselubungi kesedihan yang amat apabila seorang pelajar Muhammad bin Ishak (Terengganu) meninggal dunia pukul 1.00 pagi di Hospital Dauli akibat cedera parah. Banyak kesan tikaman di seluruh badan termasuk di leher, mata, paha dan yang paling teruk di kepalanya. Kejadian berlaku lebih kurang pukul 7.00 malam, hari Rabu, 13 Jun yang lepas di sebuah rumah pelajar Malaysia berhampiran pasar di Dirasat, Mansurah, Mesir.

Mangsa yang sedang menghadap komputer diserang dari belakang dan bergelut sehinggalah ditetak seluruh badan dengan 3 bilah pisau, antaranya pisau pemotong daging yang baru dibeli. Mangsa yang ditetak bertalu-talu lari ke anjung rumah dalam keadaan berlumuran darah dan dilihat oleh sebahagian penduduk tempatan yang berada di pasar, berhampiran tempat kejadian. Mereka cuba untuk membantu mangsa dengan naik ke tempat kejadian dan mendapati beliau dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah. Di situ juga mereka mendapati ada seorang lagi pelajar Malaysia lain (suspek) di sisinya yang turut berlumuran darah. Nota: Menurut berita Bernama.com, suspek berasal dari Dengkil, Selangor.

Penduduk tempatan berbangsa Arab telah menangkap suspek untuk diserahkan kepada pihak polis. Sehingga kini, pihak polis masih melakukan siasatan ke atas suspek terhadap kejadian yang berlaku.

Di samping itu, penduduk tempatan juga kemudiannya telah bergegas menghantar mangsa ke Hospital Dauli untuk rawatan. Mangsa sedar dalam pukul 10.00 malam dan ditanya mengapa suspek bertindak begitu. Mangsa menjawab: “Dia tu gila”.. Dan kemudian mangsa dibawa ke ICU. Pihak kedutaan tiba dalam pukul 2.00 pagi dan diberitakan mangsa sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Mangsa adalah pelajar Tahun 3 Kuliah Usuluddin jurusan Tafsir Azhar Mansurah. Suspek juga pelajar Malaysia. Suspek mengenali mangsa. Al-Fatihah.

Maklumat Mangsa

Nama: Mohammad Bin Ishak Bin Abdul RahmanTarikh Lahir: 09 November 1985Alamat Di Malaysia: 309-B, Kg. Pengkalan Raja Wali,
Chendering, Kuala Terengganu, 21080 TerengganuNo IC: 851109-11-5051No Telefon: 09-6174905Tarikh Tiba Mesir: 17 September 2006Nama Bapa: Ishak Bin Abdul RahmanPekerjaan: PesaraNama Ibu: Zaharah Binti MuhammadPendidikan:
Sekolah Kebangsaan Chendering
Sekolah Menengah Agama Marang
Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)


“Kebencian dan Permusuhan Semakin Mengganasi Kemanusiaan..”

Berita versi Utusan Malaysia:
PUTRAJAYA 14 Jun – Seorang pelajar dari Chendering, Kuala Terengganu mati dibunuh dipercayai oleh seorang rakannya yang juga pelajar dari Malaysia ketika sedang mengulang kaji bersama-sama di sebuah rumah sewa di Mansurah, Mesir, malam semalam.

Mangsa, Mohamad Ishak, 22, pelajar tahun tiga kursus Usuluddin mati setelah dipukul dengan kayu dan ditikam bertalu-talu oleh pelajar dari Selangor yang juga berusia 22 tahun dan mengikuti pengajian bahasa Arab di tahun dua.

Kedua-dua mereka merupakan pelajar Universiti Al-Azhar, cawangan Mansurah.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Kadir ketika dihubungi hari ini berkata, suspek kini ditahan di balai polis sementara jenazah Mohamad akan dikebumikan di Kaherah setelah mendapat persetujuan keluarganya di Terengganu.

Menurutnya, sehingga kini polis masih belum mengenal pasti punca kejadian tersebut namun difahamkan suspek selalu ke rumah mangsa untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama dengan empat lagi rakan yang lain.

“Pada hari kejadian, suspek telah datang ke rumah mangsa namun disebabkan kawan-kawan mereka telah keluar, dia hanya mengulang kaji bersama dengan mangsa di rumah itu.

“Mangsa yang sedang melihat Internet sambil membaca buku kemudiannya dipukul secara tiba-tiba oleh suspek dengan sebatang kayu. Suspek kemudian mengejarnya sehingga ke dapur sebelum mengambil pisau dan menikam mangsa dengan bertubi-tubi,” katanya.

Kejadian itu, tambahnya, berlaku pada pukul 7 petang dan jeritan mangsa telah mengejutkan jirannya sebelum mereka menelefon rakan serumahnya.

Zainal Abidin berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis dan mangsa yang berada dalam keadaan parah dihantar ke sebuah hospital sebelum meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam semalam.

“Mohamad patah tangan akibat dipukul dengan kayu dan tangannya penuh dengan kesan kelar kerana cuba mempertahankan diri sementara badannya penuh dengan kesan tikaman.

“Sementara suspek pula dalam siasatan awal menyatakan bahawa dia tidak tahu kenapa bertindak demikian ke atas mangsa,” katanya yang turut berada di balai polis di situ.

Menurut Zainal Abidin, pihak kedutaan akan menguruskan pengkebumian Mohamad dan jenazahnya akan dibawa ke Kaherah iaitu kira-kira 130 kilometer dari Mansurah.

Sementara itu di Kuala Terengganu, abang mangsa, Husin, 28, berkata, adiknya dipercayai menjadi ‘mangsa lepas geram’ pelajar senior.

“Dia didatangi oleh seorang pelajar senior yang hendak mencari teman serumah adik saya bernama Abdul Kadir.

“Tetapi setelah mengetahui Abdul Kadir tiada di rumah, pelajar tersebut dipercayai dengan tidak semena-mena mencapai sebilah pisau dan terus menyerang biarpun adik saya merayu-rayu supaya tidak dicederakan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pangkalan Rajawali, Chendering di sini hari ini.

Tambahan dari BERNAMA: Beliau berkata adiknya akan dikebumikan di Mesir oleh pihak kedutaan Malaysia di sana kerana keluarganya tidak mampu menyediakan kos sebanyak RM10,000 bagi urusan membawa pulang jenazah.

“Fitrah Manusia Merindui Kasih Sayang. Malangnya Kasih Sayang Sudah Mati!”
Justeru itu, saya ingin mengajak diri saya dan tetamu ziarah yang budiman sekalian, ayuh marilah kita bersama-sama menjiwai agama dan membangun bersama Islam kerana inilah sebenarnya penyelesaian tuntas dan paling bermakna kepada masalah-masalah ini. Semoga Allah SWT yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahiim melimpahkan rahmat kasih sayangNya kepada kita semua hambaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Baca juga: Jangan Pandang Kulit.. Allah Memandang Hati!

Wallahu a’la wa a’lam bissawab.

1 comment:

Anonymous said...

Pelbahai kisah dan khabar angin yang timbul ttg kejadian itu, smoga membawa ikhtibar bersama.

http://islamictazkirah.blogspot.com/