Thursday, March 15, 2007

Sekadar Perkongsian.....


Salam & Greetings,
Semoga perkongsian ini menyuburkan kembali ingatan,doa dan sokongan anda semua pada mereka yang masih merengkok di Kem Kamunting sana.....

C.Laila


Tempat Tahanan Perlindungan, Kamunting, 34009 Taiping ,Perak .
11 March 2007, 11.15am.
“Dah besar dia kan…..dulu kecik je” kata Warden perempuan yang memakai tag nama Zarina ketika memandang kearah Suhaib yang kelihatannya lebih tinggi dari saya.
“Masa ayah dia mula kena tahan dulu, umurnya baru 8 tahun, sekarang dia dah di tingkatan 2…. Kira je lah berapa lama dia dipisahkan dari ayahnya” jawab saya.
“Kami tak ada kuasa nak lepaskan suami puan….kami pun letih tengok mereka ni, bila lah agaknya nak di bebaskan “ sambung warden itu lagi.
“Awak rasa letih…saya??Kita ni sama-sama perempuan kan?? Cuba bayangkan kalau awak berada ditempat saya ??” saya menyoal semula warden itu.
Ketika itu kami berdua dalam bilik pemeriksaan. Kebiasaannya, warden yang bertugas akan memeriksa seluruh tubuh saya menggunakan scanner, tapi semasa lawatan siang tadi, warden Zarina itu hanya bersalam dan memeluk saya…satu tindakan diluar kebiasaan.
Sewaktu menunggu giliran di pondok tadi, secara kebetulan saya terserempak dengan beberapa keluarga ISA yang datang dari Kuala Lumpur. Saya ambil kesempatan ini beramah mesra dengan mereka dan anak-anak.Masih ingat lagi 5 tahun yang lalu, ditempat yang sama, semua anak-anak itu masih terlalu kecil .Ada yang berusia semuda 5 bulan.Tapi hari ini, kesemua mereka dah besar. Aimi, Afiq dan Ain bayi yang dulunya berusia 5 bulan, kini sudah pun masuk tadika tahap dua.Tahun depan akan masih darjah 1. Semuanya dah petah bercakap.Saya perhatikan, kesemua mereka, isteri dan anak-anak kelihatan masih kuat, bersemangat dan tabah seperti biasa. Mereka tetap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kamunting sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menziarahi ahli keluarga yang masih merengkok di Kem.Ikatan kekeluargaan masih utuh walau pun secara zahirnya, mereka dipisahkan lebih 5 tahun lamanya….
Perubahan fizikal.
Seperti biasa, pertemuan keluarga antara saya dan suami berlangsung selama 45 minit, melalui interkom.Perubahan fizikal Suhaib hanya dapat dilihat oleh ayahnya melalui cermin lutsinar yang memisahkan kedudukan kami. Suami saya tersenyum melihatkan anak tunggalnya yang begitu cepat membesar dan lebih tinggi darinya.Setiap kali bertemu ayahnya disebalik cermin, Suhaib akan membuka butang dan menyelak lengan baju untuk menunjukkan setiap perubahan yang terjadi pada dirinya.Ada kalanya kedua-duanya membandingkan jari tangan masing-masing yang sudah hampir sama saiznya.
Kami bertiga beranak berbual bergilir-gilir. Suhaib cuba berkongsi idea dan perancangan dengan ayahnya berkenaan program ketika cuti sekolah ini tapi kemudiannya menyedari tidak ada perkara yang dapat dilakukan bersama kecuali berutus surat.Ayahnya hanya mampu memberi nasihat secara umum.Antara nasihat itu ialah, Suhaib mesti berbincang dan meminta izin dari umi ( saya) dalam sebarang tindakan yang ingin dilakukan.
‘Father figure’
Sememangnya, perkongsian dua beranak itu sering menemui jalan buntu. Bayangkanlah , lebih 5 tahun mereka berdua tidak tinggal sebumbung. Pertemuan sekali sekala selama 45 minit sebenarnya tidak banyak membantu kedua-duanya meluahkan isi hati masing-masing. Sewaktu mula dipisahkan 5 tahun yang lalu, Suhaib masih terlalu kecil dan tidak memahami apa yang terjadi.Beliau membesar dalam keadaan yang tidak normal sepertimana anak-anak lain yang mempunyai ibu-bapa yang lengkap.Suasana yang tidak positif ini berlalu berpanjangan. Walaupun mendapat sokongan moral dari adik-beradik saya dan rakan-rakan, namun tiada siapa sebenarnya yang dapat memenuhi kota “father figure” yang diperlukan oleh anak yang sedang membesar seperti itu.
Dia tahu yang dia mempunyai seorang ayah dan ayahnya masih hidup!!(Itu salah satu sebab saya menghantarnya tinggal diasrama dan Alhamdulillah, beliau mendapat layanan dan bimbingan yang positif dari rakan-rakan yang berada disekelilingnya) .
Suami saya pula, 5 tahun lebih beliau berada dalam suasana seperti “haiwan di zoo”. Beliau diberi makan, pakai dan tempat tinggal.Namun aktiviti kehidupan hariannya sentiasa dibawah kawalan dan pengawasan warden sepanjang masa. Segala pergerakan ,perbualan dan pembacaan semuanya disaksikan oleh warden kem dan SB yang begitu bebas keluar masuk dan bergelumang dengannya melebihi 24 jam sehari.
“Saya nak order burger 4 ketul, telur goreng 3 dan air kotak 3” kata suami saya pada warden yang bertugas mengawasi pertemuan kami.
“Semua makanan ni boleh order 2 saja” kata warden itu.Mata kami bertiga merenung kearah warden itu yang kemudiannya segera beredar dari tempat pertemuan kami.
“Nak order makanan lebih sikit pun tak boleh…” getus Suhaib sambil menumbuk cermin.
Itulah hakikat kehidupan di Kemta. Segala tindakan yang ingin dilakukan mestilah mengikut peraturan kemta, walaupun hanya untuk memesan makanan dengan bilangan yang lebih sedikit.
Kini, lebih 5 tahun beliau tidak berkomunikasi dengan dengan anak-anak secara bebas. Saya tahu, memang wujud perbezaan antara mereka. Lebih-lebih lagi dalam kes ini, Suhaib adalah satu-satunya anak kami.Suami tiada pengalaman membesarkan anak sendiri hingga ke peringkat remaja .Penahanan ini telah menyebabkan suami saya kehilangan terlalu banyak peluang dan proses ‘parenting’ yang sepatutnya dilakukan bersama Suhaib.
Teh tarik dan roti canai.
Saya tidak pasti apa sebenarnya yang Suhaib ingin lakukan bersama bapanya, yang terkeluar dari mulut beliau sewaktu lawatan keluarga siang tadi. Sekadar apa yang terdengar, dia teringin sangat menikmati teh tarik dan makan roti canai selepas berjoging, sepertimana yang sering mereka berdua lakukan 5 tahun yang lalu……Ah …perkara mudah seperti itu pun terhalang untuk melakukannya…
Sewaktu kedua beranak itu bersembang berkenaan satu topik yang saya tidak tahu hujung pangkalnya, fikiran saya sempat menerawang ke kehidupan kami dulu dan kini. 5 tahun dulu, setiap waktu , sekiranya suami tidak solat di surau, pastinya kami bertiga akan solat berjemaah dirumah. Saya memang amat merindui saat-saat indah seperti itu.Dan kini, setiap kali Suhaib pulang bercuti dari asrama, sekiranya beliau tidak solat di surau dihadapan rumah kami, saya akan pastikan beliau menjadi imam ketika kami berdua solat. 5 tahun yang lalu, saya solat berjemaah berimamkan suami, tetapi kini, saya solat berjemaah berimamkan Suhaib….. Alhamdulillah… .
“Think out of the box”
5 tahun bukan lah satu waktu yang singkat.Namun, perpisahan ini tidak pernah mengurangkan sedikitpun rasa kasih kami kepadanya. Sebab itulah walaupun ada ketikanya diri ini rasa penat dan letih, perasaan kasih sayang itulah yang menjadi “drive’ untuk kami melawat beliau di kem sana….
Saya sempat berpesan pada suami supaya “learn to think out of the box”. Suami ketawa bila mendengar saranan saya. “SB selalu suruh abang “ think out of the box”…..katanya, abang mesti percaya bahawa sekiranya abang tak ditahan dibawah ISA, dah lama abang akan ditangkap oleh tentera US dan dibawa ke Guantanamo Bay. Semua tahanan ISA mesti terima cerita itu.Sapa yang percaya dengan cerita itu, maknanya tahanan tu dah boleh menerima idea SB dan dikira telah berjaya “think out of the box” .Peluang untuk dibebaskan, cerah…..” katanya lagi. Masih ketawa.
Oh, begitu kisahnya…SB pun rupa-rupanya dah lama suruh tahanan ISA” to think out of the box”!!!.Kami di GMI baru ini, telah mengadakan satu program “retreat” bagi menilai semula keberkesanan program GMI sepanjang tahun lepas. Program selama sehari semalam yang dikendalikan oleh Pak Abu@Saari Sungib itu “very impressive” dan mengajak kami berfikir “out of the box”.Bukan susah sangat nak menukar pemikiran yang sedia ada pada sesuatu yang lebih baik dan diluar jangkaan jika semua pemikiran itu menuju kearah memertabatkan nilai-nilai kemanusiaan yang adil dan saksama.
Tapi, SB di Malaysia ni nampaknya terpaksa mengambil masa lebih 5 tahun untuk mengajar tahanan ISA” to think out of the box” mengikut citarasa penguasa ISA, yang ternyata semuanya dilakukan diluar batas-batas kemanusiaan. Bukan setakat itu saja, tahanan ISA dinafikan segala-galanya dan dipisahkan dari dunia luar semata-mata supaya semua mereka itu menukar fikrah Islam yang mereka percayai selama ini dan seterusnya menerima hakikat bahawa mereka adalah benar-benar pengganas Islam ( terrorist / muslim millitants) ….hinggalah akhirnya mereka bertaubat diatas kesalahan yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkalnya….
“Abah…jangan cepat menyerah kalah pada SB jahat tu, kita mesti terus lawan….Abah mesti kuat semangat….” Itulah antara kata-kata berharga yang sempat diluahkan oleh Suhaib yang memasang telinga disepanjang perbualan saya dan suami mengenai “think out of the box” itu.
Tidak lama selepas itu, loceng berbunyi menunjukkan kami ada 5 minit lagi untuk berbual.
Ayahku masih hidup
“Abah nak rasa janggut Suhaib?” kata anak saya mendongakkan muka menunjukkan beberapa helai rambut yang tumbuh dibawah dagunya. Suami menganggukkan kepalanya berkali-kali. Kedua-duanya ketawa sambil memegang dagu masing-masing.
Suhaib cuba bergerak kehadapan agar beliau berada lebih rapat kepada bapanya dengan harapan supaya ayahnya dapat menyentuh janggutnya.Tapi, akhirnya dia menyedari ada cermin yang memisahkan kedudukan mereka……Senyuman terus hilang dari wajah mereka berdua…
Tak sanggup saya melihat adegan dua beranak itu…
Sebelum meletakkan gagang interkom, saya sempat memberitahu suami bahawa peguam akan datang ke Kem melawat mereka.Tapi saya tidak nyatakan tarikhnya kerana tidak mahu SB berkesempatan mematahkan semangat peguam yang ingin kesana…..
Selesai pertemuan tengahari itu, kereta yang saya pandu segera meluncur meninggalkan pekan Kamunting membawa bersama perasaan sedih dan kecewa yang amat mendalam. Sewaktu dalam perjalanan ke Kemta pagi tadi, perasaan rindu ingin segera bertemu dengannya , telah menyebabkan meter kereta terbabas beberapa kali pada angka 120 dan 130 km/h, tetapi sewaktu pulang semula ke Kuala Lumpur, tubuh terasa letih, lesu dan longlai …. Saya relakan saja meter bergerak disekitar 90 – 100 km/h…..
Saya menoleh kekiri kearah Suhaib yang juga kelihatan sedang mengelamun jauh. Kami tidak banyak berbual, membiarkan saja suara juruhebah radio memecah vakum kesunyian .
“Puas hati dah jumpa Abah?” tanya saya padanya. “ Never….” Jawabnya pendek.
“But at least, he is still alive, kan?” kata saya lagi. Suhaib mengangguk lemah.
Ya. Memang saya akui. Tiada siapa pernah terfikir, jauh sekali teringin untuk mempunyai ahli keluarga yang ditahan dibawah ISA.Bagi sesiapa saja yang belum pernah ditahan dibawah akta zalim itu, mungkin persediaan mental ,fizikal dan material dapat dilakukan dalam menghadapi saat-saat yang tidak terduga itu. Tapi…… anak-anak tidak pernah menyediakan mental jauh sekali sanggup menerima hakikat perpisahan tanpa kerelaan ini.. Anak-anaklah sebenarnya yang menerima kesan yang paling teruk dari kezaliman ISA ini.Perpisahan dengan “ayah” , orang tersayang yang menjadi ketua keluarga dan tempat mereka bermanja adalah umpama kiamat kecil yang menghancurkan perasaan mereka.
Namun, disebalik kesengsaraan, kekecewaan dan tekanan perasaan yang mereka hadapi, anak jugalah yang menjadi penawar, menjadi tonik yang memberi kekuatan supaya si ibu meneruskan perjuangan untuk membebaskan kehidupan dari belenggu kezaliman.
Disepanjang perjalanan, hati ini sentiasa mengharap pada Allah yang Maha Kuasa agar kezaliman ISA segera tersingkir dari kehidupan kami ….
(Kami bertolak ke Kemta 6.40 am dan tiba semula di Taman Keramat jam 5.15pm)
Norlaila Othman,
Pusat Sokongan Keluarga GMI.Taman Keramat, K.L.
13March 2007/ HP 0126892608